Syukur ke hadrat Ilahi sehingga ke saat ini kita masih mampu bernafas untuk menjadi seorang pengembara tidak kira di mana jua langkah ini mampu pergi.
Benar kata-kata yang diucapkan jauh perjalanan luas pengalaman.
Walaupun perjalanan ini hanya ke negara jiran iaitu Thailand namun pengalaman ini tidak mampu dijual beli oleh sesiapa pun.
Lebih manis lagi pengembaraan ini bersama sahabat baik yang mahu bersama-sama merasai detik ukhwah itu lebih kukuh terjalin.
Berlainan sekali jejak perjalanan ini jika bersama sahabat kerana semuanya diuruskan sendiri seperti makan minum, pengangkutan dan tempat berteduh jika dibandingkan percutian bersama keluarga yang serba lengkap. Ya ini mengajar kami untuk belajar berdikari dan cuba keluar daripada zon selesa selama ini.
Hatyai dan Krabi destinasi bagi perjalanan ini mengembara dengan hanya menaiki bas tempatan cukup memberikan pengalaman baru bagi kami. Penat ya sungguh penat namun pandangan kami lebih jelas apabila melihat rutin harian penduduk tempatan yang cukup ramah dan mesra menyambut kedatangan tetamu ke negara gajah putih itu.
Hatyai syurga bagi makanan thai yang sememangnya sedap sekali dan harganya berpatutan menarik perhatian kami untuk berkunjung ke sana. Minuman di dalam buluh, tomyam diletak di dalam tempurung kelapa sungguh unik sekali yang dijual di pasar terapung yang para peniagannya menguruskan perniagaan di atas sampan.
Ciptaan tuhan yang Maha Esa dengan keindahan pantai dan bukit-bukau di sebalik pulau-pulau mengamit memori kami sungguh indah sekali.
Aktiviti "island hopping" iaitu pengembaraan daripada pulau ke pulau di Krabi sungguh mencipta pelbagai detik yang sungguh istimewa apabila kami berpeluang melihat keindahan pulau-pulau yang sungguh jernih dan gabungan warna air laut yang biru dan zamrud indah di pandangan mata.
Di sebalik kegembiraan kami melakukan aktiviti tersebut terdapatnya sejarah tersingkap pada dahulu kala. Menurut cerita yang disampaikan oleh pemandu pelancong kami perkataan phi phi island merupakan singkatan bagi perkataan bahasa melayu iaitu dulu diberi nama pulau api api.
Pelbagai kisah sejarah yang tersingkap yang mampu meluaskan pandangan bagi sesiapa sahaja yang merasainya.
Keindahan ciptaan Allah Swt yang mentadbir segala langit dan bumi mencipta setiap kejadian dengan cukup sempurna dan cuba kita hayati daripada potongan ayat surah Al-Mulk ayat 15:
Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.