Wednesday, 12 December 2018

Teruskan Setiap Perjuangan itu


Setiap sesuatu permulaan akan pastinya bertemu detik pengakhiran. 

Setiap memori tercipta dalam kehidupan yang dilalui pahit, manis itu memberi detik yang pasti akan diingati hingga ke akhir hayat. 

Bunga yang dahulunya menjadi sanjungan dek keindahan menghiasi setiap taman-taman pastinya akan layu apabila tiba masanya.

Begitu juga hidup ini yang kadangkala disulami dengan keriangan di bibir kadangkala perlu menyeka air mata daripada jatuh ke bumi.

Mungkin kesedihan itu perlu namun usah bersedih terlalu lambat ayuh kita sama terus bangkit dan terus berdiri di atas bumi penuh barakah ini. 

Lupakan kisah lama buka buku baharu dan hiaskannya dengan detik yang penuh bermakna di dalam hidup.

Demi membanggakan kedua ibu dan ayahmu. 

Teruskan perjuangan dan jangan terus terus mengalah kau pasti akan berjaya suatu masa nanti.

Kempen UNICEF



Sekumpulan anak muda iaitu ahli kumpulan muzik Korea iaitu BTS dan labelnya Big Hit Entertainment bersama-sama menyediakan kempen LOVE MYSELF, bermula awal tahun 2017. Unicef telah bekerjasama bersama ahli kumpulan muzik ini bagi memberikan mesej mereka melalui kempen, falsafah dan kepimpinan, berdasarkan skala, organisasi dan pengalaman yang tepat. Itulah bagaimana Jawatankuasa Korea untuk UNICEF menjadi rakan kongsi yang ideal kerana dedikasi mereka untuk memperbaiki hak asasi manusia dan kehidupan kanak-kanak dan remaja sejak tujuh dekad yang lalu sebagai salah satu pertubuhan bukan keuntungan antarabangsa terbesar.

Jawatankuasa Korea untuk UNICEF menyambut baik cadangan ahli kumpulan muzik BTS dengan sepenuh hati. Para ahli menyatakan kesanggupan mereka untuk menjadi artis pertama di Korea untuk mengumpul dana sebagai sebahagian daripada dana sosial untuk kempen global dan untuk mendermakan sebahagian pendapatan mereka dari jualan album dan 100% dari semua keuntungan dari penjualan barangan kepada banyak program sosial - termasuk pencegahan keganasan terhadap kanak-kanak dan remaja serta program sokongan untuk korban keganasan.

Oleh itu, enam bulan telah berlalu sejak BTS, Big Hit Entertainment dan Jawatankuasa Korea untuk UNICEF mula bersiap untuk melancarkan kempen global bersama, berdasarkan perjanjian perniagaan pelbagai hala untuk perkongsian strategik untuk mengumpulkan wang untuk dana khusus dan mempromosikan #HentikanKeganasan.

#HentikanKeganasan adalah projek kempen global yang sedang dipentaskan di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dan remaja dari keganasan dan menggalakkan langkah-langkah pencegahan. Matlamat ini mempunyai asas yang sama dengan nilai yang boleh disumbangkan kepada masyarakat di seluruh dunia melalui kuasa belia yang mampu mempengaruhi seseorang dalam melakukan kebaikan.

CORSIC





Baru-baru ini baru sahaja berlangsung sebuah pertandingan choral speaking yang disertai oleh beberapa buah kolej di UPM termasuk dua buah universiti iaitu Unisel dan Uitm yang turut mewakili universiti masing-masing bagi menyertai pertandingan ini. Pertandingan ini dianjurkan oleh kolej kelima yang menyambut baik dalam berusaha bagi menggalakan penggunaan bahasa inggeris melalui penganjuran pertandingan ini. 

Tema bagi pertandingan choral speaking ini adalah cinta akan nilai kemanusiaan melalui gerakan berbicara secara serentak di dalam sebuah kumpulan. Mesej yang ingin disampaikan oleh setiap kumpulan adalah erti sebuah nilai kemanusiaan memberikan gambaran yang jelas akan sifat ihsan seorang manusia terhadap insan-insan berada dalam kesusahan di sekeliling mereka. Bagi menyambut baik usaha sama ini saya dan rakan-rakan telah mewakili kolej keempat belas bagi bertanding bagi pertandingan ini dan berjaya menjadi kedudukan 6 terbaik untuk berentap ke pusingan akhir bagi pertandingan ini pada sebelah malam menewaskan lebih 10 kolej yang lain.

Pertandingan ini diadili oleh juri khas selebriti popular iaitu Adibah Noor yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang linguistik bahasa inggeris. Kreativiti setiap kolej bagi menyampaikan mesej melalui persembahan yang bertemakan nilai kemanusiaan dapat dilihat melalui kerjasama setiap ahli kumpulan dalam memberikan persembahan. Adat pertandingan pastinya terdapat kalah dan menang dalam sebuah pertandingan tidak akan mematahkan semangat kami kerana pengalaman menerusi penglibatan dalam pertandingan ini tidak dapat ditukar ganti. 
Tahniah diucapkan kepada kolej yang memenangi johan, naib johan dan nombor ketiga iaitu Kolej Tun Perak, Kolej Tun Dr Ismail dan UITM yang memberikan persembahan yang cukup menarik sekali.



Kenangan bersama ahli kumpulan Kolej Empat Belas


Balai Seni Visual Negara





Jauh perjalanan luas pandangan itu merupakan ungkapan yang boleh saya katakan sepanjang lawatan saya dan ahli kumpulan membuat lawatan ke Balai Seni Visual Negara. 

Pada permulaan balai seni dibuka ia diberi nama Balai Seni Lukis Negara kemudian ditukar kepada Balai Seni Visual Negara.  Tempat ini terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur menjadi destinasi bagi saya dan rakan-rakan untuk menyiapkan tugasan bagi subjek Pengucapan Awam. 

Lawatan ke balai seni ini bertujuan bagi melihat hasil-hasil seni daripada pelukis tempatan yang mampu menggamit pandangan mata dengan pelbagai hasil lukisan yang begitu kreatif dan menarik sekali. 

Pengunjung yang mahu membuat lawatan ke balai seni ini tidak perlu mengeluarkan wang untuk melihat hasil-hasil seni di dalam balai seni ini kerana ianya percuma sahaja untuk dimasuki. Balai seni dibuka pada setiap hari daripada isnin hingga ke hari ahad dan beroperasi pada jam 10 pagi- 6 petang. Tema-tema pameran hasil seni juga akan berubah-ubah mengikut tempoh masa yang tertentu.

Pameran hasil seni yang sempat dilihat oleh saya dan rakan-rakan adalah lukisan seni budaya masyarakat melayu seperti songket, batik, pakaian tradisi dan banyak lagi. Nilai estika melalui abstrak seni yang dihasilkan oleh pelukis tempatan mampu memberikan mesej yang tersendiri untuk disampaikan kepada para pengunjung.  Sesiapa sahaja yang mencintai dan mempunyai minat yang mendalam terhadap hasil lukisan dan seni ini boleh berkunjung bagi memperoleh pengalaman baru di sini.











Langkah Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi



Menelusuri pelbagai langkah yang dimainkan  oleh pihak pemerintah Malaysia sejak kemerdekaan dicapai bagi menggantikan peranan yang dimainkan oleh bahasa inggeris adalah melalui pengunaan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi dalam bidang pengurusan dan pentadbiran negara, Dalam konteks umum,  bahasa rasmi bererti perlaksanaan bahasa melayu sebagai wahana pembinaan negara dalam semua urusan pentadbiran negara dalam membentuk sebuah negara yang memacu ke arah negara yang maju melalui penerapannya dalam urusan rasmi dalam negara. Bahasa melayu merupakan bahasa yang dipilih sebagai bahasa rasmi dalam bidang pengurusan dan pentadbiran negara bagi mendaulatkan bahasa ibunda bagi rakyat Malaysia.
            Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bahasa melayu telah menggantikan peranan yang dimainkan oleh bahasa inggeris sebagai bahasa rasmi di Malaysia. Bahasa Melayu telah digunakan sepenuhnya dalam sebagai bahasa pentadbiran negara dan sebagai bahasa perbahasan di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri. Selain itu, bahasa melayu juga digunakan secara meluas dalam bidang pentadbiran undang-udang, kehakiman dan sesuatu perbicaraan di mahkamah. Seterusnya, bagi memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi dan memainkan peranan yang penting dalam dalam urusan pentadbiran negara ia juga digunakan sebagai bahasa lisan para pegawai kerajaan sewaktu menjalankan urusan rasmi kerajaan. Oleh itu, dalam bidang penulisan dokumen, rekod kerajaan dan surat-surat rasmi di antara jabatan dan borang urusan rasmi kerajaan bahasa melayu digunakan sebagai medium utama dalam  menjalankan sesuatu urusan dalam pentadbiran negara.

Penggunaan bahasa melayu secara menyeluruh dapat dilihat juga melalui pentadbiran awam iaitu di universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam usaha untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul serta menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam khususnya di UKM, Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 bertajuk Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam boleh dijadikan panduan untuk penguatkuasaan. Mulai tahun 2013-2014 Dewan Bahasa dan Pustaka telah melaksanakan Audit Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam termasuk UKM yang bertujuan membuat penilaian tentang tahap dan mutu bahasa Melayu yang digunakan.

Tuesday, 11 December 2018

Cahaya Doa

\


Dalam menjalani sebuah kehidupan kadangkala ujian datang bertubi-tubi tanpa disangka. Jatuh bangun sehingga merasakan diri ini terlalu mudah untuk mengalirkan air mata tanpa disedari.

Penat, lelah, putus asa semua bermain di dalam akal fikiran
Adakah diri ini cukup kuat untuk menempuh setiap ujian yang hadir dalam hidup ini.

Namun pernahkah kita terfikir cabaran dan ujian itu merupakan pemangkin di dalam diri ini supaya terus bangkit dan tidak mudah jatuh longlai ditiup angin yang berhembus.

Percayalah setiap ujian yang diberikan tidak akan lebih daripada batasan seseorang itu kerana apa sahaja cabaran itu akan membuatkan kita lebih kuat pada masa hadapan.

Bersangka baik dan jangan mudah berputus asa kerana setiap yang berlaku mungkin ada hikmah di sebaliknya. Allah SWT lebih mengerti apa yang lebih terbaik kepada hambaNya. 

Bangkit dan terus percaya bahawa di sebalik awan mendung, hujan dan badai yang diturunkan namun Sang Pencipta mahu hadirkan sebuah pelangi dalam kehidupan untuk menyinari hati yang gundah gulana ini.

Berdoa dan bertawakal kepadaNya bagi mengucapkan kesyukuran terhadap setiap nikmat yang diturunkannya tanpa berbelah bahagi.


Ilmu yang ternilai



Cetusan idea itu kadangkala mampu menyingkap setiap perkara yang mahu diluahkan melalui penulisan. Mengapa penulisan menjadi medium utama untuk melahirkan sebuah idea atau sesuatu gabungan kata yang mampu mengubah setiap perkara. Kata-kata yang bermakna mampu menembus setiap sanubari para pembaca. Adakah perkara itu mampu meluahkan setiap perkara yang tersingkap yang tidak dapat dirungkai melalui kata-kata di bibir. Ya itu kenyataan yang benar. 

Bagaimanakah penulisan dapat membangkitkan semangat seseorang dapat menyebarkan setiap ilmu semuanya melalui pembacaan.

Anugerah yang tidak ternilai melalui setiap cetusan idea yang dibentuk melalui penulisan mampu mengegarkan dunia di sebalik bait-bait kata yang mahu diluahkan.

Marilah kita sama-sama menghayati kata-kata pujangga yang mungkin akan tersemat kukuh di dalam hati kita.

 "Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu"






Nikmat Sebuah Kesyukuran


Dalam mengecapi impian yang diidamkan selama ini. Pernahkah kita berhenti memikirkan sejenak adakah kita mampu bersyukur terhadap setiap kurniaan Yang Maha Esa. Setiap nafas, rezeki yang melimpah ruah, kesihatan tubuh badan antara nikmat yang paling utama dalam kehidupan ini. 

Pernah tak kita menangis atau memuji Allah apabila melihat diri kita di hadapan cermin? Kalau ada pun, tentu segelintir yang bersyukur seperti firman Allah Taala:
“… Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati, (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur.” (As-Sajadah: 9)
Allah SWT Maha Kaya dalam setiap pemberian kepada hambaNya. Allah SWT tidak berhajat tetapi kita sebagai hamba benar-benar berhajat kepada Allah.
Kalau nak disebut satu persatu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, tentu tak terkira kerana terlalu banyak nikmat tersebut.
Tidak kira sama ada nikmat yang dapat dilihat dengan mata kasar seperti masih hidup hingga hari ini, ada keluarga, ada tempat berlindung, ada makan minum dan sebagainya.
Malah, termasuk juga nikmat yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti ketenangan hidup, kelapangan masa, kebijaksanaan dan banyak lagi.
Tapi sayangnya, kita masih lagi tidak perasan dan sering kali lupa untuk bersyukur.
Mari kita fahami dengan analogi yang mudah. Apabila kita dalam kesusahan, tiba-tiba dibantu oleh orang lain untuk menyelesaikannya. Secara tidak langsung, kita mengucapkan dua patah kata iaitu terima kasih kepada individu itu.

Hal ini kerana Allah yang membuka hati dan menggerakkan individu itu untuk membantu kita.
Jika kita sukar untuk mengucapkan terima kasih, ia sama seperti kita tidak bersyukur kepada Allah SWT.
Allahu Ya Rahman Ya Rahim, Maha Suci Allah yang memberi rezeki dan nikmatkepada hambaNya. Allah SWT memberi peringatan kepada kita menerusi firmanNya:
“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmatKu kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat keras.” (Ibrahim : 7)t



Friday, 2 November 2018

Pengembaraan penuh bermakna ke Thailand


Syukur ke hadrat Ilahi sehingga ke saat ini kita masih mampu bernafas untuk menjadi seorang pengembara  tidak kira di mana jua langkah ini mampu pergi.
Benar kata-kata yang diucapkan jauh perjalanan luas pengalaman.
Walaupun perjalanan ini hanya  ke negara jiran iaitu Thailand namun pengalaman ini tidak mampu dijual beli oleh sesiapa pun.
Lebih manis lagi pengembaraan ini bersama sahabat baik yang mahu bersama-sama merasai detik ukhwah itu lebih kukuh terjalin.
Berlainan sekali jejak perjalanan ini jika bersama sahabat kerana semuanya diuruskan sendiri seperti makan minum, pengangkutan dan tempat berteduh jika dibandingkan percutian bersama keluarga yang serba lengkap. Ya ini mengajar kami untuk belajar berdikari dan cuba keluar daripada zon selesa selama ini.

Hatyai dan Krabi destinasi bagi perjalanan ini mengembara dengan hanya menaiki bas tempatan cukup memberikan pengalaman baru bagi kami. Penat ya sungguh penat namun pandangan kami lebih jelas apabila melihat rutin harian penduduk tempatan yang cukup ramah dan mesra menyambut kedatangan tetamu ke negara gajah putih itu.

Hatyai syurga bagi makanan thai yang sememangnya sedap sekali dan harganya berpatutan menarik perhatian kami untuk berkunjung ke sana. Minuman di dalam buluh, tomyam diletak di dalam tempurung kelapa sungguh unik sekali yang dijual di pasar terapung yang para peniagannya menguruskan perniagaan di atas sampan.

Ciptaan tuhan yang Maha Esa dengan keindahan pantai dan bukit-bukau di sebalik pulau-pulau mengamit memori kami sungguh indah sekali.

Aktiviti "island hopping" iaitu pengembaraan daripada pulau ke pulau di Krabi sungguh mencipta pelbagai detik yang sungguh istimewa apabila kami berpeluang melihat keindahan pulau-pulau yang sungguh jernih dan gabungan warna air laut yang biru dan zamrud indah di pandangan mata.
Di sebalik kegembiraan kami melakukan aktiviti tersebut terdapatnya sejarah tersingkap pada dahulu kala. Menurut cerita yang disampaikan oleh pemandu pelancong kami perkataan phi phi island merupakan singkatan bagi perkataan bahasa melayu iaitu dulu diberi nama pulau api api.
Pelbagai kisah sejarah yang tersingkap yang mampu meluaskan pandangan bagi sesiapa sahaja yang merasainya.

Keindahan ciptaan Allah Swt yang mentadbir segala langit dan bumi mencipta setiap kejadian dengan cukup sempurna dan cuba kita hayati daripada potongan ayat surah Al-Mulk ayat 15:


Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.










Thursday, 1 November 2018

Tips Berjimat Bagi Pelajar Universiti


Jadi bagi entri kali ini saya mahu berkongsi tips dan kaedah bagi menyusun perbelanjaan dengan lebih efisien sebagai seorang pelajar universiti.


Pernah tak kita terfikir sebenarnya adakah kita betul-betul berjimat dan kawal perbelanjaan sepanjang kita sebagai pelajar ni ?. Sebenarnya duit pinjaman atau biasiswa yang diperolehi adalah cukup untuk digunakan untuk setiap sem, sekiranya kita tahu kaedah yang betul.


1. Jadilah pelajar yang bijak

Sebagai pelajar yang bijak dalam pelajaran, anda juga perlu bijak berbelanja. Cetak tugasan anda di kedua-dua belah muka surat kertas, beli isian semula mesin pencetak , pinjam buku rujukan daripada pelajar senior/rakan/perpustakaan, sewa rumah bersama kawan-kawan dan makanlah di kampus.
Secara amnya, perkhidmatan dan kemudahan di kampus seperti sewa asrama, fotokopi dan lain-lain adalah lebih murah, jadi ambillah kesempatan ini! Lebih elok lagi, kumpulkan kawan-kawan anda dan carilah peluang mendapatkan diskaun apabila membeli barang (buku, alat tulis, dll) secara pukal di kampus.

2. Bandingkan harga semasa membeli-belah

Dengan membandingkan harga semasa membeli-belah dan mencari tawaran harga yang lebih baik anda mampu menjimatkan wang sema berbelanja. Dengan cara ini juga kita mempu menjadi seorang yang lebih berhati-hati dan bersabar semasa membeli-belah dan tidak terdorong dengan hawa nafsu di samping dapat menjimatkan kos. 

3. Gunakan kad pelajar anda

Kad pelajar adalah salah satu instrumen yang sangat membantu dalam usaha anda menyimpan wang. Anda boleh menggunakannya untuk mendapat diskaun ketika menonton wayang, membeli buku, menaiki LRT, melayari Internet, bercuti, makan, bersukan dan sebagainya. Bayangkan penjimatan yang anda dapat!

4. Amalkan amalan menabung

Sejak daripada kecil lagi kita didik dengan amalan menabung yang banyak manfaatnya jika kita bijak dalam menguruskan perbelanjaan. Bak kata pepatah sikit-sikit lama-lama menjadi bukit. Cara yang paling mudah adalah dengan membeli tabung di mana-mana kedai serbenaka dan berazam untuk menabung bagi tempoh masa tertentu. Setiap kali adanya syiling mahupun wang kertas 1 ringgit, 5 ringgit atau 10 ringgit cuba masukkan setiap minggu di dalam tabung. Sekiranya sudah penuh anda akan lihat hasilnya akan menjadi sangat lumayan.


Wednesday, 31 October 2018

Bangkit dengan Kehidupan




Jika disebut tentang kehidupan pelbagai kisah yang tercipta bagi setiap perjalanan

Kaki yang melangkah tangan yang menghayun ada ceritanya sendiri yang kadangkala tidak dapat diungkap dengan kata-kata

Kerana hanya diri ini sahaja yang mengerti tentang apa maknanya tentang kehidupan

Dari setiap detik dan waktu setiap nafas yang dihirup mampu mengungkit setiap rasa yang tersingkap

Benar ada kalanya langit berdentum, hujan mencurah bumi, petir menyambar
Namun di sebalik itu terpancarnya sang mentari terik di ufuk bumi
Yang Maha Pencipta mahu menghantar indahnya sang pelangi

Bersabarlah kerana sabar itu indah

Teruskan tersenyum abadikan setiap detik itu sebagai coretan hidup penuh bermakna
Di sebalik apa yang diuji tidak lebih dari batasan kemampuanmu

Ingat kembali insan-insan yang sentiasa ada di sampingmu

Tidak kira susah mahupun di kala senang
Ya merekalah pembakar semangatmu
Untuk Terus Bangkit dan mengorak langkah dengan penuh tenang

Ibu bapa

dan
Keluargamu.

Tuesday, 9 October 2018

Doa Untuk Sulawesi



Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan berita mengenai negara jiran kita di Sulawesi,Indonesia 
menghadapi bencana alam iaitu gempa bumi berskala 7.5 magnitud yang disertai dengan tsunami. Ramai nyawa yang terkorban susulan daripada bencana alam yang berlaku di Bandar Palu, Sulawesi Tengah Indonesia. Kampun Balarua merupakan kawasan yang paling teruk terjejas yang kawasan asalnya merupakan kawasan landai bertukar kepada bukit yang beralun yang dipenuhi mangsa yang teperangkap di bawahnya.

Malaysia juga bersedia untuk membantu mangsa bencana di Sulawesi Indonesia bagi memberikan sumbangan dan bantuan kecemasan di sana. Bantuan mencari dan menyelamat juga akan giat dilakukan menerusi pasukan khas sukarelawan daripada Malaysia akan dihantar ke sana. Pelbagai sumbangan daripada segi bekalan makanan, ubat-ubatan, khidmat perubatan, barangan tempat berteduh akan diberikan ke sana menerusi sumbangan daripada rakyat Malaysia secara sukarela untuk membantu mangsa bencana. 

Berita ini juga amat menyedihkan bagi mangsa bencana yang kehilangan tempat tinggal, kemudahan yang sebelum ini lengkap digunakan dan juga kehilangan nyawa orang-orang yang tersayang. Hubungan erat di antara negara Malaysia dan juga Indonesia yang merupakan negara serumpun tidak membezakan apa-apa sahaja dalam menghulurkan bantuan merupakan perkara yang patut dibanggakan. Di kala ada insan yang bersedih dan berduka ayuhlah  sama-sama kita berganding bahu untuk menghulurkan sumbangan dan berkhidmat bakti tanpa mengira agama, bangsa dan negara. 

Saturday, 6 October 2018

Damainya biru hijaumu



Di dalam kekelaman jiwa hati yang mahukan kedamaian aku tersentak sendiri,

Apakah yang aku mahukan dalam kehidupan ini,

Adakah aku hanya mahu menjadi insan yang termenung sendirian

yang hanya mampu melihat langit tanpa mencipta sebarang persoalan,

Sungguh setiap apa yang dicipta bukan tiada gunanya

sedangkan apa yang kau pandang sebelah mata itu berbudi setiap detikmu,


Pandang ke atas dan lihatlah bawahmu 

Ia memberi seribu makna tentang kehidupan

Langit dicipta untuk menerangi alam yang kau rasakan kelam 

Hijaunya di bawah kakimu 

Bukan bermakna kau harus pijak tanpa melupakan budinya

Tanpa hijaunya alam ini tiadalah guna hidupmu


Maka bersyukurlah terhadap setiap ciptaan Nya

Wahai manusia bumi ini sudah tua

Tidakkah kau sedih dengan apa yang berlaku di sekelilingmu

Cintailah ia sebagaimana kasinhya kau terhadap kekasihmu 

Peliharalah sungguh setiap yang dicipta memberi

berjuta manfaat terhadap makhluk Nya.




Sunday, 16 September 2018

BBK3410: Lahirnya Bakat Kreatif



Assalamualaikum saya ucapkan kepada anda yang sudi mengunjungi blog saya ini.



Permulaan dan kehidupan baru di bumi UPM cukup memberikan pengalaman yang cukup menarik yang mungkin saya tidak dapat di tempat lain. Sebelum saya menyambung pelajaran di sini saya sangkakan mungkin universiti ini hanya berorientasikan kepada bidang pertanian sahaja. Namun sangkaan saya sememangnya meleset terdapat banyak kursus pengajian yang meliputi semua aspek daripada bidang kebahasaan, teknologi maklumat, sains hayat hingga ke bidang kejuruteraan ditawarkan di sini.  

Sememangnya cukup indah kepada sesiapa sahaja yang mahukan ketenangan jiwa belajar di sebuah universiti yang mempunyai pemandangan landskap yang menghijau dan tenang sekali. Saya berasa cukup bertuah terpilih menjadi salah seorang mahasiswi UPM yang begitu tersohor namanya di persada negara. Boleh dikatakan sebagai universiti dalam taman walaupun terletak di tengah-tengah bandaraya yang cukup pesat membangun. 

Berbalik kepada topik yang saya mahu ketengahkan dalam entri pertama ini. Saya ditugaskan untuk menulis entri blog bagi subjek Penglahiran Bakat Kreatif. Sebelum saya dan rakan sekelas dalam perjalanan untuk hadir ke kelas bagi subjek ni kami tersalah hentian bas untuk ke kelas. Jadi kami terpaksa turun ke hentian fakulti lain dan berjalan kaki sejauh 2km saya rasa dan merentas dewan besar dan padang barulah kami sampai ke destinasi yang betul. Mungkin situasi biasa bagi pelajar baru di sini dan kami antara insan yang terpilih yang sesat dan terpaksa berjalan kaki ke kelas. Berpeluh jugaklah bila kami sampai ke kelas tapi kepenatan tu semua hilang bila kami didedahkan dengan subjek yang cukup menarik kepada sesiapa sahaja yang mencintai bidang kesusteraan.

Subjek penglahiran bakat kreatif ini bagi memberikan pendedahan kepada setiap pelajar bagi mencungkil bakat terpendam dalam diri mereka dan mengasah bakat tersebut untuk menghasilkan karya agung tersendiri. Tidak kisahlah anda berada dalam kursus pengajian apa pun tapi jika anda mempunyai minat yang mendalam menceritakan kisah kehidupan terhadap apa yang ada pelajari. Ia akan memberikan gambaran yang cukup jelas kepada masyarakat yang membacanya melalui medium penulisan yang dihasilkan dan memberikan impak yang cukup mendalam terhadap para pembaca melalui mesej yang disampaikan. Subjek ini juga juga melahirkan rasa cinta terhadap bidang sastera dan perjuangan para sasterawan negara yang mengetuk isi hati sesiapa sahaja yang membaca karya mereka. 

Mungkin sampai di sini sahaja entri saya pada kali ini, insyallah jika ada masa terluang akan ada lagi entri yang akan saya kongsikan. 

Sekian, 
Nadia Syahirah





Teruskan Setiap Perjuangan itu

Setiap sesuatu permulaan akan pastinya bertemu detik pengakhiran.  Setiap memori tercipta dalam kehidupan yang dilalui pahit, manis...