Dalam mengecapi impian yang diidamkan selama ini. Pernahkah kita berhenti memikirkan sejenak adakah kita mampu bersyukur terhadap setiap kurniaan Yang Maha Esa. Setiap nafas, rezeki yang melimpah ruah, kesihatan tubuh badan antara nikmat yang paling utama dalam kehidupan ini.
Pernah tak kita menangis atau memuji Allah apabila melihat diri kita di hadapan cermin? Kalau ada pun, tentu segelintir yang bersyukur seperti firman Allah Taala:
“… Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati, (tetapi) amat sedikit kamu bersyukur.” (As-Sajadah: 9)
Allah SWT Maha Kaya dalam setiap pemberian kepada hambaNya. Allah SWT tidak berhajat tetapi kita sebagai hamba benar-benar berhajat kepada Allah.
Kalau nak disebut satu persatu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, tentu tak terkira kerana terlalu banyak nikmat tersebut.
Tidak kira sama ada nikmat yang dapat dilihat dengan mata kasar seperti masih hidup hingga hari ini, ada keluarga, ada tempat berlindung, ada makan minum dan sebagainya.
Malah, termasuk juga nikmat yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti ketenangan hidup, kelapangan masa, kebijaksanaan dan banyak lagi.
Tapi sayangnya, kita masih lagi tidak perasan dan sering kali lupa untuk bersyukur.
Mari kita fahami dengan analogi yang mudah. Apabila kita dalam kesusahan, tiba-tiba dibantu oleh orang lain untuk menyelesaikannya. Secara tidak langsung, kita mengucapkan dua patah kata iaitu terima kasih kepada individu itu.
Hal ini kerana Allah yang membuka hati dan menggerakkan individu itu untuk membantu kita.
Jika kita sukar untuk mengucapkan terima kasih, ia sama seperti kita tidak bersyukur kepada Allah SWT.
Allahu Ya Rahman Ya Rahim, Maha Suci Allah yang memberi rezeki dan nikmatkepada hambaNya. Allah SWT memberi peringatan kepada kita menerusi firmanNya:
“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmatKu kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu amat keras.” (Ibrahim : 7)t